twitter
rss

Selasa, Mei 25, 2010

Mesyuarat PIBG

7 April 2010, berlangsungnya mesyuarat PIBG dengan kehadiran para waris yang begitu menggalakkan. Dalam ucapan Guru Besar, beliau telah memaklumkan kepada semua waris (komuniti setempat) tentang kewujudan kabin cITaKU lab yang disumbangkan oleh Badan Perlaksanaan Koridor Utara (NCIA). Saya telah dipelkenalkan kepada para waris sebagai IT eksekutif yang akan menguruskan cITaKU lab dan sekaligus menjadi guru IT kepada anak-anak mereka. Selain itu, beliau telah memberi kebenaran kepada komuniti setempat untuk masuk ke kawasan sekolah selepas waktu persekolahan bagi menikmati kemudahan komputer yang disediakan dengan mengenakan sedikit caj yang akan ditetapkan oleh pihak NCIA dan beberapa syarat yang akan ditetapkan oleh pihak sekolah. Guru Besar juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Koridor Utara kerana memilih sekolah ini sebagai tempat melaksanakan projek cITaKU lab. Setelah sesi soal jawab permasalahan anak-anak selesai, semua yang hadir menikmati jamuan. Mesyuarat berakhir pada pukul 6 ptg selepas majlis cabutan bertuah, di mana saya di lantik sebagai AJK hadiah bagi menguruskan majlis tersebut.

Isnin, Mei 24, 2010

Sambutan Maulidur Rasul








Pada 3 April 2010, sambutan Maulidur Rasul telah diadakan dengan pengisian pelbagai program untuk para pelajar. Semua pelajar berkumpul terlebih dahulu untuk mengambil kedatangan. Walaupun ini adalah program keislaman, namun beberapa orang pelajar berbangsa Siam turut hadir. Selepas kedatangan diambil, guru yang bertugas menerangkan sedikit tentang perjalanan program di mana pelajar tahap 1 akan berkumpul di Makmal ICT sekolah untuk mengikuti Kem Bestari Solat dan pelajar tahap 2 akan berada di dewan sekolah untuk mendengar cerita tentang kelahiran dan kerasulan Nabi Muhammad. Selesai Kem Bestari Solat, pelajar tahap 1 di bahagikan kepada beberapa kumpulan dan mereka perlu mengikut guru pembimbing masing-masing bagi meneruskan pembelajaran solat secara praktikal. Bagi tahap 2, selesai kisah yang telah diperdengarkan, mereka di beri soalan secara lisan. Hadiah disediakan bagi mereka yang dapat menjawabnya dengan betul. Selepas rehat, 3 lagi program berlangsung iaitu pertandingan menulis tulisan khad, pertandingan menghafal surah pendek dan pertandingan membaca teks jawi. Disebabkan kesuntukan masa, hadiah disampaikan pada esok hari sewaktu perhimpunan berlangsung.

Selasa, Mei 18, 2010

Sukan Tahunan SKPC







Sukan tahunan berlangsung selama 4 hari. Pada hari pertama, 7 Feb 2010 dimulakan dengan acara merentas desa, 8 Feb 2010 pula acara sukan tara dan 9 Feb 2010 berlangsung acara akhir padang. Para pelajar begitu bersemangat mengikuti setiap acara yang berlangsung. Persaigan sangat sengit antara pelajar dan rumah-rumah sukan. Saya telah dilantik menjadi urusetia pengumpulan mata (markah) ketika acara akhir padang berlangsung. Pada hari terakhir 10 Feb 2010, majlis penyampaian hadiah disampaikan oleh tuan Guru Besar, En Mohd Khalid Abd Rahman kepada para pemenang. Sekali lagi saya dilantik menjadi juru gambar sepanjang majlis berlangsung...Sukan Tahunan SKPC berakhir dengan begitu meriah sekali walaupun ianya berlangsung sebagai program dalaman sekolah sahaja.

Isnin, Mei 17, 2010

Sambutan Maal Hijrah


Sambutan telah berlangsung pada 19 Januari 2010. Para guru bergotong-royong menyediakan bubur asyura. Setiap guru dan kakitangan menyumbangkan wang masing-masing untuk membeli bahan-bahan menyediakan bubur asyura. 5 kawah bubur asyura telah disediakan. Setiap kawah mewakili 1 kumpulan di mana bahan-bahan yang dicampurkan di dalam bubur mengikut citarasa ahli kumpulan tersebut. Ini adalah pengalaman pertama saya mengacau bubur asyura. Semakin pekat, semakin susah untuk mengacaunya. Setelah masak, bubur asyura diagihkan kepada semua kakitangan dan pelajar. Untuk pelajar, pelbagai aktiviti disediakan antaranya perarakan dan kuiz Maal Hijrah.